Pelatih PLKN mati kerana leukemia
20/05/2010 5:13pm
KUALA LUMPUR 20 Mei - Seorang pelatih khidmat negara meninggal dunia semalam kerana penyakit acute leukemia yang hanya diketahui oleh keluarganya apabila diberitahu pakar perubatan.
Chu Kar Wai, 18, yang mengikuti latihan di Kem Akademi Kepimpinan Segari di Pantai Remis, Perak, meninggal dunia pada pukul 2.20 petang semalam dan jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya di Shah Alam pukul 11 malam tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata demikian selepas menghadiri seminar komandan-komandan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini hari ini.
"Mendiang meninggal dunia di Hospital Seri Manjung,Perak. Sebelum ini pada 8 Mei lalu, Kar Wai telah mendapat rawatan awal dari Penolong Pegawai Perubatan di klinik kem berkenaan kerana demam dan sekali lagi mengalami demam pada 10 Mei dan telah dirujuk ke hospital.
"Keluarga terdekat iaitu ibu bapa mendiang dimaklumkan berhubung perkara itu dan berada di samping pelatih terbabit sejak dia dimasukkan ke wad sehingga dia meninggal dunia. Kita difahamkan penyakit yang dihidapi mendiang tidak disedari ibunya sehingga diberitahu pakar,” katanya.
Rekod pengesahan kesihatan Kar Wai tidak melaporkan remaja itu mempunyai penyakit. - Bernama
No comments:
Post a Comment