SILA KLIK INI

Saturday, June 5, 2010

BERITA PLKN

20,000 DIBURU

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my
2010/06/05

BIDOR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan terus memburu lebih 20,000 peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang masih gagal serta enggan melaporkan diri menyertai program wajib yang diperkenalkan sejak 2004.

Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata semua mereka tidak terlepas daripada menjalani program itu walaupun sudah selesai menjalani hukuman yang dikenakan.


“Semua peserta, sama ada yang memohon penangguhan ataupun mereka yang gagal menyertai program akan terus diburu dan notis panggilan akan dihantar biarpun mereka sudah selesai menyertai kerja-kerja kemasyarakatan selepas disabitkan kesalahan di mahkamah. “Mereka juga tidak boleh menganggap terlepas daripada menjalani latihan khidmat negara ini selepas selesai menjalani hukuman berkenaan bahkan mereka tetap dikerah menjalani program ini,” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan program Wacana Ilmu Bersama Pelatih-Pelatih PLKN dengan kerjasama Yadim di PLKN Nilam Ehsan, dekat sini, semalam. Hadir sama Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dan Rektor Kolej Darul Ridzuan, Ann Wan Seng serta pakar antropologi, Sheikh Ismail Hashim. Moderator wacana itu ialah Mejar Mohd Jihadi Ahmad yang juga Pegawai Agama Kem Kementah.


Katanya, pihaknya akan terus memanggil mereka selagi program itu wujud dan hukuman tetap dikenakan sekiranya mereka ini gagal melaporkan diri selepas diberi notis panggilan.


Abdul Hadi berkata, peserta tidak boleh memilih jalan mudah untuk menerima saja hukuman kerja-kerja kemasyarakatan bagi mengelak menyertai PLKN. Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, program PLKN tetap diteruskan dan tiada sebarang gambaran akan ditutup atau dimansuhkan.

No comments:

Post a Comment

TOLONG LA KLIK SAYA EK...TOLONG LAH